Monday, May 24, 2010

Ulasan Perlawanan Mingguan

KL Bandar FC cipta kejutan
Oleh Zulkifli Kamaludin
24 Mei 2010

BANGI – Liga Bola Sepak HASiL (T) KL kembali ‘bersiaran’ di padang APM, Bangi. KL Bandar menebus kesilapan mereka sebelum ini dengan menumpaskan pendahulu kumpulan A, Lemak FC 2-1. Keadaan padang yang becak sedikit menggangu permainan namun aksi kedua-dua pasukan masih baik. Lemak FC yang menurunkan Mohamad Fais Shamsudin selaku penjaring terbanyak kejohanan ketika ini dalam kedua-dua babak permainan, masih gagal menambah kelebihan jaringan untuk menewaskan KL Bandar FC.

Separuh masa pertama menyaksikan perlawanan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang tersendiri. KL Bandar FC terlebih dahulu mengejutkan pasukan Lemak FC menerusi jaringan Ahmad Nazreen Hamzah, dia berjaya melepasi perangkap offside pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan leret yang menerjah gawang Lemak FC.

Lemak FC memiliki dua percubaan menarik melalui Zulkhaire Zulkifli tetapi bola dapat ditepis keluar oleh penjaga gol KL Bandar FC manakala satu lagi percubaan cantik daripada Suffian Mohamad namun bola rembatannya mengenai palang gol. Gol yang ditunggu-tunggu oleh Lemak FC tiba jua selepas Mohamad Fais Shamsudin dapat memintas Mohd Marulee Halimy seterusnya melepaskan lambungan tinggi melepasi penjaga gol KL Bandar FC, Azlan Azuri Azmi.

KL Bandar FC menyedari sekiranya keputusan semasa(seri) ini mungkin menguburkan impian mereka beraksi di suku akhir, mereka mula mencari idea untuk mengatasi pasukan lawan. Beberapa minit kemudian, Shafiq Azwan memberi sinar harapan kepada KL Bandar FC apabila menanduk masuk bola ke pintu gol Lemak FC hasil dari satu sepakan sudut.

Selepas itu, Lemak FC mempunyai dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol KL Bandar FC.

Pengurus Lemak FC, Md Rasidi Yunus memberitahu pasukannya telah berusaha sedaya upaya tetapi tuah kali ini milik KL Bandar.

“Tahniah diucapkan kepada semua pemain saya terutamanya penjaga gol yang telah beraksi dengan cemerlang. Untuk perlawanan terakhir melawan AO FC nanti, kami harap dapat memberikan persembahan yang lebih baik,” jelasnya.


APM cerahkan peluang
Oleh Zulkifli Kamaludin
24 Mei 2010

BANGI – APM mendaki dua anak tangga selepas membenam cabaran JTM FC, 3-2. Sebelum perlawanan, APM memerlukan kemenangan ini untuk menyalakan harapan mereka ke peringkat seterusnya. Bagi JTM pula, walaupun telah layak ke peringkat suku akhir, mereka mungkin mencari kedudukan yang lebih baik dalam kumpulan ini di samping mencuba beberapa strategi baru pasukan.

Mohd Azmi Mustafa mencatat nama sebagai penjaring pertama dalam perlawanan ini apabila melepaskan rembatan leret menuju ke penjuru kanan pintu gol pasukan JTM FC. Tidak sempat JTM FC membalas jaringan tersebut, Mohd Naim Othman menyambut hantaran lintang dari sebelah kanan padang sebelum menewaskan penjaga gol JTM FC, Mohd Fariq Baharin.

Kelemahan barisan pertahanan JTM makin ketara, Arbain Baharum meledak gol ketiga untuk tuan rumah berada selesa di depan. Barisan pertahanan JTM FC juga dilihat hilang punca sehinggakan mereka mudah dikucar-kacirkan oleh rangkaian penyerang APM.

Ketinggalan tiga gol, JTM mula memberi fokus kepada bahagian pertahanan di samping cuba mengubah kedudukan ini melalui jaringan mereka. 3 minit kemudian, pemain pertahanan APM telah tertanduk bola ke belakang dan membolehkan Shamsul Zahuri Johari meluru dan menyumbat gol sulung JTM FC. Moral pemain JTM FC mula meningkat, asakan bertali arus dilakukan menyebabkan Shamsul Zahuri Johari sekali lagi menghukum kelemahan pertahanan APM dengan merembat kencang bola ke gawang gol APM.

Kedudukan amat genting ini menyebabkan kapten APM, Mohd Azmi Mustafa segera turun bagi membantu bahagian pertahanan mematahkan serangan pasukan JTM FC. Strategi ini nyata berbaloi apabila JTM FC tidak mampu menambah gol mereka sehingga minit akhir perlawanan.

Keputusan ini sekaligus meranapkan impian KL Bandar untuk mencecah kaki ke peringkat suku akhir. Walaupun jumlah mata KL Bandar sama dengan JTM FC, kedudukan KL Bandar FC tidak mampu mencabar APM FC yang mempunyai kelebihan jaringan berbanding lawannya dan masih memiliki baki satu perlawanan untuk menentang Boyz United. Perlawanan terakhir kumpulan A di antara APM FC dan Boyz United dijadualkan pada 5 Jun ini, Boyz United terdesak memerlukan kemenangan untuk menempah tiket ke suku akhir manakala APM hanya memerlukan keputusan seri untuk layak.

Pengurus pasukan APM, Razali Yaacob meramalkan pasukannya masih berpeluang untuk layak ke peringkat suku akhir. Beraksi di tempat sendiri mungkin boleh menyemarakkan lagi aksi terakhir menentang Boyz United nanti.


Wisma Hasil HQ kalahkan Pro Centre FC
Oleh Zulkifli Kamaludin
24 Mei 2010

BANGI – Walaupun tempat ke suku akhir dalam genggaman kedua-dua pasukan, Wisma Hasil HQ FC dan Pro Centre FC berentap dengan penuh semangat dan akhirnya dimenangi oleh pasukan Wisma Hasil HQ FC 1-0. Keputusan perlawanan terakhir kumpulan B ini menyaksikan Pro Centre FC mengiringi PB United untuk berada dalam kategori bukan pilihan pada sesi undian pasukan-pasukan ke suku akhir nanti. Dua pasukan pilihan kumpulan B ini menjadi milik Pungutan United dan Wisma Hasil HQ FC.

Babak pertama perlawanan, palang gol Pro Centre FC digegarkan oleh rembatan Mohd Firdaus Mat Noor namun bola itu tidak membias ke gawang gol. Pro Centre FC mencari rentak dan dapat menghidu peluang menerusi Mohd Shahril Mustapar tetapi dia melambungkan bola melewati pintu gol Wisma Hasil HQ FC.

Aksi bersambung, pemain Wisma Hasil HQ, Ahmad Imran Ismail berjaya menggelecek dua pemain pertahanan tetapi penjaga gol Pro Centre FC menjatuhkannya dan diberikan sepakan penalti oleh pengadil. Ezahar Ishak tenang menjaringkan gol tersebut.

Pro Centre FC mula tertekan, mereka memiliki beberapa peluang menerusi Wan Mohd Faisal namun kecekapan penjaga gol Wisma Hasil HQ FC berjaya menafikannya. Selain itu, Wan Mohd Faisal juga dilihat banyak mencipta umpanan dan gerakan yang menarik tetapi masih gagal menemui jaringan.

Pada separuh masa kedua, Pro Centre FC banyak mengancam kubu Wisma Hasil HQ FC tetapi berjaya dikekang oleh barisan pertahanan Wisma Hasil HQ FC. Bangkit daripada satu serangan balas, Wisma Hasil HQ mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi dua kali rembatan pemainnya mengenai palang dan tiang gol.

“Kami bermain dengan baik tetapi nasib tidak menyebelahi kami. Kalah di peringkat kumpulan ini bukan bermakna kami pasukan yang lemah dan kami akan bangkit di peringkat suku akhir nanti,” kata Arizan Yusoff, Pengurus Pro Centre FC.




Menurut pengurus pasukan Wisma Hasil HQ FC pula, Harris Ahmad Rosli mengatakan pasukannya telah bermain dengan baik walaupun tanpa kehadiran lima pemain utama dan percaturan formasi yang berbeza telah membuahkan hasil.
LIGA HASIL KL2010

No comments:

Post a Comment